Powered by Blogger.
RSS

Merdeka itu pada apa?

Salam'alaik..sudah berbulan rasanya tidak ada perkembangan di blog ini..maka sebagai permulaan yang "baru"..ingin saya kongsikan satu artikel yang telah saya nukilkan dalam sebuah risalah..sit back and enjoy reading!!^_^

                                         ***************

“Bebas itu kata yang mudah diucapkan namun sulit untuk dipraktikkan.”

“ Maka setiap yang terbangun di pagi hari, dia selalu bertanya:Apa itu bebas?Mungkin kebebasan itu seperti udara yang dihirupnya dan matahari yang menerpanya setiap pagi. Membuatnya merasa seperti manusia.”

Kemerdekaan merupakan sesuatu yang amat didambakan manusia tidak kira dari mana pun asal negaranya, bangsa mahupun agama. Bagi sesebuah negara, kemerdekaan daripada belenggu mahupun cengkaman penjajah merupakan yang sangat utama bagi menjadikan Negara itu sebagai Negara yang berdaulat. Bagi individu pula, kemerdekaan itu sendiri punya pengertian yang berbeza, bergantung kepada bagaimana suasana masyarakat mahupun budaya sekeliling. Ada yang meletakkan kemerdekaan itu sebagai merdekanya manusia daripada perhambaan kepada manusia lain, yang mana wujudnya sebuah sistem yang meletakkan manusia di bawah kasta atau kelompok yang berbeza berdasarkan taraf yang tertentu. Ada juga yang meletakkan kemerdekaan  itu sebagai suatu kebebasan yang tiada had dan batasan yang membolehkan mereka melakukan apa sahaja tanpa mahu terikat dengan sebarang norma dan peraturan. Malah menjadikan hak asasi manusia yang dianggap sebagai ‘hak’ yang tidak boleh dinafikan walaupun hakikatnya ‘hak’ itu bertentangan dengan agama. Tidak kurang juga mereka yang dengan yakinnya memegang prinsip “Rules are made to be broken!” demi memperjuangkan ‘kebebasan’ yang mahu dikecapi.

Secara umumnya, kemerdekaan itu seringkali didefinasikan sebagai kebebasan atau lepasnya sesuatu mahupun seseorang daripada belenggu mahupun pengaruh luar. Persoalannya kini, adakah pengertian kemerdekaan yang kita pegang selama ini merupakan kemerdekaan sebenar?Dan  adakah masyarakat malah kita secara individu layak digelar insan yang merdeka? 

Dalam kita mencari dan mengenal pasti apa itu pengertian sebenar kemerdekaan, tiadalah yang lain melainkan kembali semula kepada yang telah digariskan dalam agama fitrah iaitu agama Islam. Saidina Ruba’i bin Amir yang merupakan panglima tentera Muslim pernah berkata di hadapan Rustum, Raja Parsi, “Kami datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada menjadi hamba kepada Allah s.w.t. Juga membebaskan mereka daripada kesempitan dan kezaliman agama kepada keluasan dan keadilan Islam.” 

Jika kita imbas kembali ketika peristiwa pembukaan Mekah atau Fathul Makkah, di mana Rasulullah s.a.w. mengambil langkah pertama dengan menghancurkan berhala-berhala yang terdapat di sekeliling Kaabah pada waktu itu. Ini secara jelas menunjukkan bahawa kemerdekaan yang asas lagi utama yang dibawa oleh Islam adalah membebaskan diri daripada menyekutukan Allah dengan sesuatu mahupun makhluk-Nya yang lain tidak kira dalam aspek apa sekalipun dalam kehidupan ini. Seandainya kita meletakkan sesuatu yang lain seperti kekayaan, kuasa dan pangkat melebihi Allah, maka sedarilah bahawa status kemerdekaan yang kita pegang berada dalam zon yang bahaya! Na’uzubillahi min zalik!

Sebagai pengakhir:

 “ Mahu jadi apa pun kalian nanti, pilihlah jalan Allah dengan rasa bebas dan dengan hati yang ikhlas. Dengan begitu, insyaAllah kita akan hidup dengan tenang dan tanpa rasa benci.”(Perempuan berkalung serban)

Maka , dalam apa jua nilai kemerdekaan dan kebebasan yang diperjuangkan, jangan kita sekali-kali lupa daripada meletakkan Dia sebagai yang teratas. Andai kemerdekaan itu dianggap sebagai kebebasan melakukan apa sahaja yang dihajati tanpa sebarang undang-undang mahupun garis panduan, hakikatnya kemerdekaan yang dimaksudkan adalah tidak wujud. Ini adalah kerana Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan kepada umat manusia membawa agama Islam yang menjadi pedoman dan panduan dalam menjalani kehidupan. Tanpa manual kehidupan ini, manusia akan sesat dan akan menjadi ibarat layang-layang yang terputus talinya, terbang tanpa arah tuju lalu akhirnya jatuh terjunam ke bumi sehingga patah segala rangka.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 lighted candles:

Anonymous said...

UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT

Post a Comment

cot-cet