Salam'alaik..sudah berbulan rasanya tidak ada perkembangan di blog ini..maka sebagai permulaan yang "baru"..ingin saya kongsikan satu artikel yang telah saya nukilkan dalam sebuah risalah..sit back and enjoy reading!!^_^
***************
“Bebas itu kata yang mudah diucapkan namun sulit untuk
dipraktikkan.”
“ Maka setiap yang terbangun di pagi hari, dia selalu
bertanya:Apa itu bebas?Mungkin kebebasan itu seperti udara yang dihirupnya dan
matahari yang menerpanya setiap pagi. Membuatnya merasa seperti manusia.”
Kemerdekaan merupakan sesuatu
yang amat didambakan manusia tidak kira dari mana pun asal negaranya, bangsa
mahupun agama. Bagi sesebuah negara, kemerdekaan daripada belenggu mahupun
cengkaman penjajah merupakan yang sangat utama bagi menjadikan Negara itu
sebagai Negara yang berdaulat. Bagi individu pula, kemerdekaan itu sendiri
punya pengertian yang berbeza, bergantung kepada bagaimana suasana masyarakat
mahupun budaya sekeliling. Ada yang meletakkan kemerdekaan itu sebagai
merdekanya manusia daripada perhambaan kepada manusia lain, yang mana wujudnya
sebuah sistem yang meletakkan manusia di bawah kasta atau kelompok yang berbeza
berdasarkan taraf yang tertentu. Ada juga yang meletakkan kemerdekaan itu sebagai suatu kebebasan yang tiada had
dan batasan yang membolehkan mereka melakukan apa sahaja tanpa mahu terikat
dengan sebarang norma dan peraturan. Malah menjadikan hak asasi manusia yang
dianggap sebagai ‘hak’ yang tidak boleh dinafikan walaupun hakikatnya ‘hak’ itu
bertentangan dengan agama. Tidak kurang juga mereka yang dengan yakinnya memegang
prinsip “Rules are made to be broken!”
demi memperjuangkan ‘kebebasan’ yang mahu dikecapi.
Secara umumnya, kemerdekaan itu
seringkali didefinasikan sebagai kebebasan atau lepasnya sesuatu mahupun
seseorang daripada belenggu mahupun pengaruh luar. Persoalannya kini, adakah
pengertian kemerdekaan yang kita pegang selama ini merupakan kemerdekaan
sebenar?Dan adakah masyarakat malah kita
secara individu layak digelar insan yang merdeka?
Dalam kita mencari dan mengenal
pasti apa itu pengertian sebenar kemerdekaan, tiadalah yang lain melainkan
kembali semula kepada yang telah digariskan dalam agama fitrah iaitu agama
Islam. Saidina Ruba’i bin Amir yang merupakan panglima tentera Muslim pernah
berkata di hadapan Rustum, Raja Parsi, “Kami datang untuk membebaskan manusia
daripada perhambaan sesama manusia kepada menjadi hamba kepada Allah s.w.t.
Juga membebaskan mereka daripada kesempitan dan kezaliman agama kepada keluasan
dan keadilan Islam.”
Jika kita imbas kembali ketika peristiwa pembukaan Mekah
atau Fathul Makkah, di mana Rasulullah s.a.w. mengambil langkah pertama dengan
menghancurkan berhala-berhala yang terdapat di sekeliling Kaabah pada waktu
itu. Ini secara jelas menunjukkan bahawa kemerdekaan yang asas lagi utama yang
dibawa oleh Islam adalah membebaskan diri daripada menyekutukan Allah dengan
sesuatu mahupun makhluk-Nya yang lain tidak kira dalam aspek apa sekalipun
dalam kehidupan ini. Seandainya kita meletakkan sesuatu yang lain seperti
kekayaan, kuasa dan pangkat melebihi Allah, maka sedarilah bahawa status
kemerdekaan yang kita pegang berada dalam zon yang bahaya! Na’uzubillahi min
zalik!
Sebagai pengakhir:
“ Mahu jadi apa pun kalian nanti, pilihlah
jalan Allah dengan rasa bebas dan dengan hati yang ikhlas. Dengan begitu,
insyaAllah kita akan hidup dengan tenang dan tanpa rasa benci.”(Perempuan berkalung serban)
Maka , dalam apa jua nilai
kemerdekaan dan kebebasan yang diperjuangkan, jangan kita sekali-kali lupa
daripada meletakkan Dia sebagai yang teratas. Andai kemerdekaan itu dianggap
sebagai kebebasan melakukan apa sahaja yang dihajati tanpa sebarang undang-undang
mahupun garis panduan, hakikatnya kemerdekaan yang dimaksudkan adalah tidak
wujud. Ini adalah kerana Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan kepada umat manusia
membawa agama Islam yang menjadi pedoman dan panduan dalam menjalani kehidupan.
Tanpa manual kehidupan ini, manusia akan sesat dan akan menjadi ibarat
layang-layang yang terputus talinya, terbang tanpa arah tuju lalu akhirnya
jatuh terjunam ke bumi sehingga patah segala rangka.